Jumaat, Disember 12, 2008

Tunas Insani buat persembahan



Tahniah kepada 'tunas' Insani Malaysia!

Kanak-kanak ini telah berjaya membuat persembahan dalam majlis Malam Budaya Kerja Cemerlang Hospital Batu Pahat malam ini.

Dua buah lagu persembahan mereka ialah: 10 Little Indian Boys dan Old McDonald Had A Farm.

Kejayaan mereka membuktikan bahawa setiap kanak-kanak boleh dipupuk dan dilentur, asal saja mereka diberi peluang yang sama untuk mencapai kecemerlangan.

Ahad, Disember 07, 2008

Eid Mubarak


Insani Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidiladha kepada semua sukarelawan dan pengunjung blog ini.

Jumaat, Disember 05, 2008

Kanak-kanak Insani gembira



Cuba lihat betapa gembiranya kanak-kanak dalam gambar di atas. Mereka adalah 'anak-anak Insani' yang baru selesai bermain sambil berlatih di taman rekreasi berhampiran pejabat Insani.

Pada 12 haribulan ini, mereka akan membuat satu persembahan nyanyian di Dewan Jubeli Intan Batu Pahat atas undangan Hospital Batu Pahat. Lagu-lagunya ialah: 10 Little Indian Boys dan Old McDonald Had A Farm.

Di Insani, kanak-kanak seperti mereka berpeluang untuk bermain dan belajar secara percuma berkonsepkan penglibatan ibubapa atau penjaga mereka.

Isnin, November 24, 2008

Perihal penderitaan kanak-kanak yang tidak berdosa


Pernahkah anda melihat gambar di atas yang mengerikan itu? Ia dirakam oleh Kevin Carter, seorang jurugambar terkenal Afrika Selatan, dalam tahun 1993 tentang seorang kanak-kanak Sudan yang kelaparan.


Apakah kesudahan kanak-kanak tersebut, tiada siapa yang tahu. Tetapi, Kevin Carter sendiri telah membunuh diri pada Julai 1994.


Dalam nota yang ditinggalkannya, beliau menyatakan bahawa dia tidak tahan mengenang tentang kemiskinan, kelaparan, penderitaan, nasib malang yang menimpa kanak-kanak tidak berdosa.


Kevin Carter mati ketika berumur 33 tahun!


Keterangan: Burung hering seperti dalam gambar di atas adalah sejenis haiwan yang memakan bangkai.

Ahad, November 16, 2008

Terimakasih!



Hari ini hampir 50 orang telah menyertai program kesihatan anjuran Insani Malaysia dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat. Kebanyakan yang hadir terdiri daripada kaum wanita.

Bagi pihak Insani, kami mengucapkan terimakasih kepada semua anggota yang telah menjayakan Kem Kesihatan tersebut.

Khamis, November 13, 2008

Kem Kesihatan Wanita


Insani Malaysia dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat akan mengadakan program Kem Kesihatan Bagi Kaum Wanita seperti ketetapan di bawah ini:

Tarikh : 16 November, 2008 (Ahad)

Masa : 8.00 - 1.00 tengahari

Tempat : Bangunan Insani


Antara pemeriksaannya adalah: Pap smear bagi mengesan kanser pangkal rahim dan payudara; tekanan darah tinggi; berat unggul dll.


Program ini terbuka kepada orang ramai.


Pihak Insani mengenakan bayaran RM2.00 sahaja bagi pendaftaran.


Pertanyaan boleh dibuat kepada sukarelawan Insani: Pn Sue (017 7518965) atau Pn Natrah (012 7263136).

Selasa, November 11, 2008

Syabas, sukarelawan Insani!



Seramai 50 orang sukarelawan Insani telah berkumpul dalam satu majlis sederhana yang diadakan pada hujung minggu lepas. Mereka terdiri daripada remaja, wanita dan lelaki.

Majlis seperti ini diadakan setiap tahun sebagai tanda penghargaan, serta bertujuan untuk merapatkan lagi persaudaraan antara satu sama lain.

Dalam motivasinya, Syed Hamid (atau 'Pak Habib') selaku Pengarah Urusan Insani telah menekankan tentang mulianya menjadi seorang sukarelawan.

"Kita patut bersyukur, kerana sebagai sukarelawan, kita berpeluang untuk hidup berbakti kepada komuniti dan masyarakat.

"Biarpun sedikit, itu adalah amal jariah," katanya.

Sabtu, November 01, 2008

Majlis Tahunan Sukarelawan Insani, 2008

Semenjak ditubuhkan pada 20 April 2000, Insani Malaysia bergerak dan dapat bertahan hingga sekarang atas sokongan dan kerjasama orangramai khasnya para sukarelawan yang budiman.

Untuk mengenang jasa serta merapatkan lagi persaudaraan di kalangan mereka, satu majlis pertemuan ringkas telah diatur. Ketetapannya seperti berikut:

Tarikh : 9. 11. 2008 (Ahad)
Masa : 9.15 - 1.00 tengahari
Tempat : Bangunan Insani

Maklumat selanjutnya dapat diperolehi daripada sukarelawan sepenuh masa kami:

Pn. Zuraidah (017 751 8965) atau Pn Natrah (012 726 3136)

Jumaat, Oktober 24, 2008

Melamine in graphics


Please click on picture to enlarge.

Melamine




Kesan campuran 'melamine' dalam susu menjadi ancaman kesihatan.

Maklumat mengenai bahan organik tersebut perlu disebarkan untuk pengetahuan ramai.

Jika berminat, sila layari laman-laman berkenaan melalui url berikut:

http://www.google.com.my/search?client=firefox-a&rls=org.mozilla%3Aen-US%3Aofficial&channel=s&hl=en&q=apakah+melamine&meta=cr%3DcountryMY&btnG=Google+Search

atau, cari saja "tentang melamine".

Terima kasih.

Sabtu, Oktober 18, 2008

Melawat keluarga ISA


Atas asas kemanusiaan, baru-baru ini pihak Insani telah menziarahi tiga keluarga tahanan ISA di Batu Pahat dan Johor Bahru untuk menyampaikan bungkusan hari raya. Kedatangan kami disambut dengan keikhlasan dan mesra.

Seorang daripada mereka iaitu Puan Zakiah Bt Mat ditemui di rumahnya di Kangkar Pulai. Beliau isteri kepada Dr Abdullah bin Daud, pensyarah UTM yang ditahan tanpa bicara semenjak awal tahun 2002 yang lalu.

"Masa tu, anak kecil kami baru 13 bulan; sekarang dia dah lapan tahun.... " Begitulah jelas Puan Zakiah, isteri setia dan ibu kepada 11 orang anak antara 8 hingga 25 tahun -- sembilan daripada mereka masih belajar sama ada di universiti ataupun sekolah menengah dan rendah.

Puan Zakiah menyara keluarganya dengan membuat berbagai macam kerja seperti membuat kuih secara sambilan, menjaga kanak-kanak dan mengajar Al-Quran.

[Gambar di atas menunjukkan Puan Zakiah bersama-sama tiga orang anak dan kanak-kanak jagaannya.]

Isnin, Oktober 06, 2008

Insani adalah badan amal

Terdapat satu peribahasa China yang huraian ceritanya lebih kurang begini:

Ada seorang petani miskin; hari-hari dia berkebun. Pada suatu hari, sedang dia berehat di bawah sebatang pokok, tiba-tiba meluru seekor arnab dan melanggar pokok tersebut lalu iapun mati.

Alangkah gembiranya dia. "Aaah, tak payah bekerjapun aku dah boleh dapat makan...." fikirnya.

Mulai hari itu, dia tidak lagi mengusahakan kebunnya. Tiap-tiap hari dia berehat saja di bawah pokok yang sama dan mengharapkan ada arnab akan melanggar pokok tersebut!

Lama kelamaan, si petani itupun menjadi semakin miskin dan malas; kebunnya dipenuhi semak dan tidak mengeluarkan apa-apa hasil.

Dari moral cerita tadi, kita boleh menarik kesimpulan bahawa peranan Insani adalah tidak lebih daripada sebuah badan amal yang menjurus kepada golongan susah dan miskin.

Kami tidak boleh mendakwa lebih daripada itu.

Ahad, Oktober 05, 2008

Kami bersyukur kepada Allah

Pada petang raya keempat, Khuzzan, Nat, Sue dan saya telah merebut masa dari pejabat pergi ke rumah Ajiman di Koris kira-kira 15 km dari bandar Batu Pahat.

Kereta Khuzzan terpaksa melalui jalan kampung yang berlopak-lopak dan sempit; tetapi dia tidak komplen. Malahan, sehari sebelum raya pun dia sudah ke situ untuk menemani seorang hamba Allah dari Kuala Lumpur menyampaikan bantuan.

"Pak Habib! Anak-anak Ajiman semua dapat baju baru...." Begitulah, antara lain, Khuzzan memberitahu saya tentang berita baik itu.

Dua hari yang lalu, ketika menziarahi keluarga tersebut, kami dapat melihat kesan-kesan gembira yang masih jelas di wajah lesu mereka.

Biarpun itu hanya sementara, kami bersyukur kepada Allah!

Jumaat, Oktober 03, 2008

Nak jadi sukarelawan Insani?

Minal aidin wal fa izin....!

Sudah tiga hari kita beraya dan bermaaf-maafan. Sehari dua lagi, segala-galanya akan beransur kembali seperti biasa.

Pejabat Insani akan dibuka semula esok. Pertama-tama, kami akan merancangkan untuk mengadakan majlis hari raya sesama warga Insani. Tujuan utamanya ialah untuk merapatkan lagi silaturrahim antara satu sama lain.

Akhir-akhir ini, kami juga telah menerima pelbagai pertanyaan berkaitan dengan Pertubuhan Pembangunan Insani Malaysia (atau ringkasnya Insani) ini.

Sekiranya anda juga berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, silalah berhubung dengan:

Syed Hamid Ali / 'Pak Habib' di 012-7128868, atau
emel: insanimalaysia@gmail.com

Masa kerja Insani adalah seperti berikut:

Selasa, Rabu & Khamis (10.00 pagi - 6.00 ptg)
Sabtu & Ahad (08.30 pagi - 6.00 ptg)

Khamis, September 25, 2008

'Usop Kongo'



Nama asalnya Yusoff bin Seon. Tetapi, terkenal dengan panggilan 'Usop Kongo'.

Insan tua ini membawa kad pengenalan lusuh yang mencatatkan tarikh lahirnya pada 29 Mac, 1926. Ertinya, dia sudah berumur lebih daripada 82 tahun!

Usop Kongo tinggal seorang diri dalam sebuah pondok yang tak ubah seperti reban ayam di belakang rumah seorang ibu 'tinggal' bernama Hasnah Abd Rahman di Bukit Batu, Senggarang. Suami Hasnah kembali ke alam baqa' kira-kira 20 tahun yang lalu.

"Sebelum meninggal dunia, suami saya mewasiatkan kepada saya supaya terus membantu mengurus kehidupan Pak Usop yang dah uzur itu," jelas Puan Hasnah.

Seterusnya dia memberitahu kami bahawa Pak Usop bukannya orang tempatan. "Dia berasal dari Kota Tinggi dan merempat ke sini 40 tahun lebih dulu."

Mengikut ceritanya lagi, insan tua tersebut pernah menganggotai pasukan tentera kita yang berkhidmat di Kongo dulu. Sebab itulah dia mendapat gelaran 'Usop Kongo'.

Tetapi, beginilah rupanya nasib atau kesudahan seorang insan yang tiada pembelaan -- sekalipun pada usia mudanya dulu dia pernah mengharumkan nama negara demi keamanan dunia!

Sedih bukan kepalang.....


Ahad, September 21, 2008

110 terima bungkusan hari raya




Pagi ini, Insani Malaysia telah mengadakan satu upacara ringkas untuk menyampaikan 110 bungkusan hari raya kepada keluarga-keluarga susah dan mempunyai tanggungan ramai.

Antara barang-barang keperluan yang terdapat dalam bungkusan tersebut ialah beras, minyak masak, gula, sirap, tepung, susu, sardin, kicap, ketupat, mi hun, coklat dsbnya.

Insani Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang dengan ikhlas telah menyumbang, khasnya syarikat beras Faiza dan Kumpulan Selia.

Tidak kurang juga penghargaan kami kepada para sukarelawan yang telah bertungkus untuk menjayakan program ini.

Sabtu, September 20, 2008

Edy seorang mu'alaf


Edy Abdullah seorang mu'alaf (saudara baru). Ketika ditemui, dia dan lima orang anaknya berada di rumah yang disewanya RM180 sebulan.

Dalam masa-masa biasa, Edy menjadi buruh nelayan. Katanya, ".... dah lama tak turun ke laut; cuaca tak baik." Oleh kerana itu, dalam bulan puasa ini, isterinya mengambil upah membuat kuih.

Edy mendakwa tidak pernah menerima zakat/fitrah daripada pihak yang berkenaan. Kenapa? "Tak taulah...."

Pagi esok, Edy dan anak-anaknya akan berjalan kaki dari rumahnya ke Insani (lebih kurang 5 km) hanya untuk menerima bungkusan hari raya!

Isnin, September 15, 2008

Seorang budak bernama Ahmad

Ahmad baru berumur tujuh tahun. Kami menemuinya ketika dia sedang membantu ayahnya ke sana-sini mencari besi buruk yang dibuang dalam tong-tong sampah.

Pada usia kecil seperti itu, Ahmad sepatutnya lebih banyak dapat peluang untuk bermain dan belajar. Tetapi, tidak....

Sebagai anak sulung dalam keluarga miskin lima beradik, dia terpaksa bekerja untuk menolong menyara keluarganya; lebih-lebih lagi menjelang hari raya ini.

Entah berapa banyakkah kanak-kanak yang seperti Ahmad dalam masyarakat kita sekarang?

Lebih malang lagi, ibu Ahmad mengidap penyakit jantung berlubang, sementara paru-paru adik bongsunya dijangkiti kuman dan berair!

Masyarakat penyayang?



Pada mulanya kami menyangkakan nenek yang dalam lingkungan usia 90 tahun itu tinggal bersama suaminya dalam rumah usang yang dilawati itu.

"Tidakkk, suami nenek dah meninggal masa zaman Jepun dulu."

"Ohhh..... Jadi yang ni siapa, nek?" sambil menoleh ke arah seorang yang kelihatan lebih tua daripadanya, dan bertongkatkan sebatang buluh.

"Ini anak nenek...." Dia (anaknya) jelas lebih uzur kerana berpenyakit dan terbiar.

"Jadi, siapa membantu nenek?"

"Akulah........."

Betul seperti katanya. Di dalam dapurnya pun hampir tiada apa-apa dan tidak terurus.

Ya Allah! Berikanlah kami keinsafan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Selasa, September 09, 2008

Hidup sederhana ?

Apa yang setambun itu?

Nampak macam bungkusan sampah sebelum dihantar ke pusat kitar semula.

Ooop, salah....

Itu ialah 'almari' pakaian bagi sekeluarga miskin lima orang yang kami kunjungi baru-baru ini.

Rumah mereka kelihatan bersih dan lapang saja kerana tidak ada sebutir kerusipun di situ.

Kalau begitu, macam manalah anak-anak si miskin dapat belajar dengan sempurna? Kesian mereka......


Isnin, September 08, 2008

Pelik, tapi benar!































Setiap kali sukarelawan kami membuat lawatan ke rumah-rumah keluarga miskin atau ibu 'tinggal', mereka sering membawa balik cerita-cerita yang menyayat hati.

Baru-baru ini ada satu keluarga di Koris - sebuah kampung tidak jauh dari bandar Batu Pahat.

Ceritanya begini:
"Bila hujan turun tengah malam, kami sekeluarga tak dapat tidur sampai pagi....".

Lebih sedih lagi, apa yang dipanggil 'rumah' itu, bukan saja tidak mempunyai tempat mandi dan jamban, malahan bekalan air paip dan elektrik pun tiada!

Ahad, September 07, 2008

Jumaat, September 05, 2008

Ramadhan Al-Mubarak!

Pada awal Ramadhan yang mulia ini, sukarelawan Insani telah menyampaikan bungkusan kurma ke beberapa buah kawasan di sekitar bandar Batu Pahat.

Lebih daripada 200 keluarga miskin atau yang kurang berada telah dikunjungi.

"Terima kasihlah! Ada juga yang sudi datang ke pondok buruk nenek ni...", keluh seorang insan tua yang tinggal bersendirian.

Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para dermawan dan sukarelawan yang telah menjayakan aktiviti ini.